PUTRAJAYA, 26 OKT 23 - MESYUARAT KE-15 JAWATANKUASA TEKNIKAL MARIN MyGDI (JTMM) telah berlangsung pada jam 9.30 pagi di Atelier Hall, Le Meridian Hotel, Putrajaya. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dato’ Hanafiah bin Hassan. Seramai 34 delegasi daripada 24 kementerian/jabatan/agensi berserta Government Linked Companies (GLC) selaku Ahli Tetap JTMM telah hadir. 2 ahli tetap baharu turut hadir iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PLANMalaysia. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengemaskini status perkongsian, pengurusan, penyimpanan, penggunaan dan pelepasan data marin melalui kerjasama di kalangan Ahli Tetap JTMM seterusnya menyokong pembangunan Marine Spatial Data Infrastructure (MSDI) di negara ini. Mesyuarat telah berlangsung dengan jayanya. Ahli Tetap JTMM yang hadir juga telah dimaklumkan mengenai ketersediaan data marin melalui pembentangan data marin tersebut di dalam MyMarine GeoHub. Antara pembentangan lain di dalam mesyuarat ini adalah seperti berikut: 1. Pembangunan S-100 di Malaysia - PHN. 2. Cadangan kerangka kerja Marine Spatial Planning di Malaysia - PLANMalaysia. 3. Fungsi dan Peranan SKMM - SKMM. PHN mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua ahli tetap JTMM yang hadir dan setinggi penghargaan kepada SKMM yang merupakan host bagi penganjuran mesyuarat pada kali ini. Kolaborasi perkongsian data marin ini merupakan satu kekuatan yang perlu diteruskan dalam pembangunan MSDI nasional yang komprehensif, menyeluruh dan sistematik.