PULAU INDAH, 23 JUL 20 - Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah berjaya peroleh keputusan 5 Bintang iaitu 90.21% bagi Audit Kesiapsiagaan (AK) Pusat Hidrografi Nasional 2020. AK PHN 2020 yang dilaksanakan pada 20 Jul hingga 23 Jul 20 oleh Bahagian Inspektorat Jeneral (BIJ) Markas Tentera Laut merangkumi semua aspek yang berkaitan dengan pengurusan, perkhidmatan teras dan pengurusan pelanggan.
Kaedah pelaksanaan audit adalah melalui semakan dokumentasi, pemeriksaan bahan bukti, lawatan pemeriksaan , pemeriksaan perbarisan, kajian kepuasan warga, temuduga evolusi kecemasan dan pertahanan pangkalan. Pelaksanaan AK pada kali ini diubahsuai selaras dengan PKPP serta mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Penilaian audit adalah berdasarkan kepada Format Penilaian Protokol Audit TLDM.
AK PHN 2020 kali ini amat bermakna buat seluruh warga PHN apabila berakhir dengan keputusan yang sangat membanggakan berkat semangat, sikap positif dan kerjasama warga PHN yang penuh komitmen walaupun terpaksa berdepan dengan situasi dan pandemik COVID-19. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PHN. Bravo Zulu!