PULAI INDAH, 7 Mei 26- MESYUARAT KE-17 JAWATANKUASA TEKNIKAL MARIN MyGDI (JTMM) telah berlangsung di Pusat Hidrografi Nasional (PHN) dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dr. Najhan bin Md Said. JTMM merupakan platform penyelarasan teknikal yang menghimpunkan agensi berkepentingan dalam pengurusan, perkongsian dan pembangunan data geospatial marin negara. Mesyuarat kali ini melibatkan penyertaan seramai 33 wakil daripada 23 kementerian, jabatan dan agensi selaku ahli JTMM. Malaysian Institute of Maritime Affairs (MIMA) telah berkongsi mengenai Marine Spatial Planning (MSP) yang memberi penekanan terhadap kepentingan perancangan ruang laut secara mampan dan seimbang demi menyokong pembangunan maritim negara serta kelestarian alam sekitar. Selain itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) turut membentangkan aplikasi GIS terkini yang dibangunkan bagi memperkukuh pengurusan serta perkongsian data marin negara. Mesyuarat ini menjadi medium penting dalam mempererat kerjasama strategik antara agensi ke arah tadbir urus geospatial marin yang lebih komprehensif, bersepadu dan berdaya saing. PHN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli JTMM atas komitmen dan penglibatan aktif sepanjang mesyuarat berlangsung. Semoga kerjasama erat ini terus menjadi pemangkin kepada pemerkasaan pengurusan maritim negara pada masa hadapan.


xx











