PULAU INDAH, 27 Okt 2025- MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT DAN SERAH TERIMA TUGAS KETUA PENGARAH HIDROGRAFI KE-8 telah berlangsung dengan penuh istiadat di Wisma Laskar, Pusat Hidrografi Nasional.Majlis disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, yang turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) dan warga Pusat Hidrografi Nasional serta unit bawah naungan. Majlis dimulakan dengan Pemakaian Pangkat Timbalan Ketua Pengarah Hidrografi, yang telah dinaikkan pangkat ke Laksamana Muda berkuat kuasa pada 26 Oktober 2025. Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas di antara Laksamana Muda Dato’ Hanafiah bin Hassan dan Laksamana Muda Dr. Najhan bin Md Said, diikuti dengan penyerahan Nota Serah Terima Tugas serta upacara menaik dan menurunkan Insignia Pemerintah. Majlis turut diserikan dengan upacara penyerahan simbolik pemerintahan serta laungan ‘Start Of Line’ yang menandakan penyerahan rasmi tampuk kepimpinan kepada Ketua Pengarah Hidrografi yang baharu.Di penghujung majlis, seluruh warga Pusat Hidrografi Nasional dan unit naungan berbaris dalam formasi ‘Street Lining’ sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mantan Ketua Pengarah Hidrografi ke-7 yang berjalan melalui barisan warga sambil menerima lambaian dan salam perpisahan penuh hormat. Sekalung tahniah diucapkan kepada Laksamana Muda Dr. Najhan bin Md Said atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Hidrografi Ke-8, serta setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Laksamana Muda Dato’ Hanafiah bin Hassan atas kepimpinan, jasa dan sumbangan cemerlang sepanjang menerajui Pusat Hidrografi Nasional.



xx











