JOHOR, 13 JAN 2026- MAJLIS PENUTUP DAN GRADUASI KURSUS HYDROGRAPHIC SURVEYING PROGRAMME I ( UTM HYDRO I ) FIG/ IHO/ ICA CATEGORY B 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 9 Januari 2026 bertempat di Le Grandeur Palm Resort, Senai, Johor. Kursus ini telah dilaksanakan bermula 23 Jun 2025 hingga 9 Januari 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, hasil kerjasama strategik antara UTM dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN). Program ini dirangka bagi melahirkan ahli hidrografi yang berkaliber dan kompeten, selaras dengan piawaian antarabangsa FIG/IHO/ICA, serta memenuhi keperluan keselamatan pelayaran dan pembangunan maritim negara. Majlis penutup dan graduasi kursus tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Hidrografi, YBhg Laksamana Muda Dr. Najhan Md Said. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program UTM HYDRO I merupakan platform penting dalam pembangunan modal insan hidrografi negara melalui gabungan pengisian teori dan praktikal yang disampaikan oleh tenaga pengajar serta pakar daripada UTM, PHN dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan program ini menepati standard dan pengiktirafan antarabangsa. Seramai 10 orang peserta daripada TLDM, Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), Jabatan Laut Malaysia serta sektor industri maritim telah berjaya menamatkan kursus ini, sekali gus mencerminkan peranan UTM HYDRO I sebagai platform pembangunan profesional hidrografi di peringkat nasional dan antarabangsa. Anugerah kecemerlangan telah disampaikan kepada:
Best Student Award – Lt Dya Wan Muhammad Eqbal Amiruddin bin Wan Jusoh TLDM
Best Academic Performance Award – Lt Dya Muhammad Ezraf bin Aziz TLDM & Ramesh A/L Mahendiran (Industri Maritim)
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua peserta atas komitmen, disiplin dan pencapaian cemerlang sepanjang tempoh kursus. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh keupayaan hidrografi negara serta menyokong peranan PHN sebagai peneraju hidrografi nasional.



xx











